Jentera Pemuda Pas WP bersedia hadapi PRK

Mohamad Suhaimi Aziz
Mohamad Suhaimi Aziz
SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan bersedia menggerakkan jentera parti di segenap peringkat bagi memastikan kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut meskipun ia akan diadakan dalam bulan Ramadan.

Tmbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Aziz berkata, Ramadan tahun ini bakal mencatat sejarah perjuangan Pas kerana akan sekali lagi bertarung dalam PRK walaupun baru sahaja menghadapi PRU13 tidak sampai dua bulan yang lepas.

"Bulan Ramadan adalah bulan rahmat buat umat Islam.

"Umat Islam juga mengenali bulan ini sebagai bulan perjuangan dan bulan kemenangan.

"Semangat Ramadan akan mengalir dalam diri setiap anggota dan Insya-ALLAH setiap petugas akan berkorban bagi memastikan kemenangan tercipta di Dun tersebut dan seterusnya memberi peluang buat Pas memerintah kembali Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, PRK bagi kawasan Dun Kuala Besut bakal diadakan berikutan penyandangnya, Dr A.Rahman Mokhtar meninggal dunia.
 
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini dan tidak menolak kemungkinan akan diadakan pada Ramadan.
 
"Apa pun, SPR akan bermesyuarat untuk menentukannya (tarikh penamaan calon dan pengundian)," katanya.
 
Berikutan kematian Dr A.Rahman akibat kanser paru-paru semalam, PRK pertama bakal diadakan selepas PRU13 diadakan pada 5 Mei lepas.
 
Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya PRK diadakan memandangkan BN membentuk Kerajaan Negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi Pas manakala satu lagi oleh PKR.
 
Sementara itu, berikutan kedudukan kerusi di antara BN dan PR hampir seri, Mohamad Shuhaimi berkata, PRK Kuala Besut bakal menjadi penentu kerajaan yang memerintah sekarang atau kerajaan baru yang akan dibentuk nanti.

Tambah beliau, segala kemungkinan boleh terjadi hanya dengan usaha, semangat dan kecekalan petugas Pas di semua peringkat.

"Kemenangan di kawasan Dun Kuala Besut memberi laluan dan peluang cerah buat Pas kembali memerintah manakala BN dalam keadaan tersepit perlu mengekalkan kemenangan untuk mereka terus berkuasa.

"PRK ini juga adalah penentu kepada kebolehpercayaan rakyat terhadap perjalanan sistem pilihan raya oleh SPR.

"Semua mata dan telinga rakyat akan menjadi saksi apakah benar SPR bertindak adil, telus dan bersih dari sebarang penipuan serta penyelewengan," katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis