ALOR GAJAH – Pulau Konet yang terletak di Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini, yang dulunya terkenal sebagai kawasan rekreasi dan aktiviti pelancongan kini dicemari aktiviti maksiat.
Perubahan itu bukan sahaja meresahkan penduduk yang tinggal berhampiran pulau berkenaan khususnya penduduk Kampung Telok Gong, malah ia menjejaskan nama baik kampung berkenaan.
Penduduk, Hasni yang Ghazali, 50-an, berkata, keluasan pulau yang kecil memudahkan pasangan muda ini menyelit di celah-celah pokok ketapang yang merimbun selain mereka mudah berselindung di sebalik tebing bukit di pinggir pantai sebelum mereka beraksi bersama pasangan mereka.
“Mereka tidak hiraukan kehadiran orang ramai yang datang ke pulau ini dengan tujuan untuk beriadah dan memancing ikan tapi golongan ini selamba melakukan aktiviti kurang sopan di situ.
“Sebelum ini pernah berlaku sepasang kekasih terkandas beberapa jam di atas pulau ini sebelum mereka diselamatkan sepasukan anggota penyelamat selepas air laut pasang dengan mendadak semasa mereka sedang leka memadu asmara.
“Kejadian itu sepatutnya menjadi peringatan kepada pasangan lain namun semakin ramai pasangan muda masuk ke pulau ini yang dianggap ‘port’ terbaik untuk melakukan maksiat,” katanya.
Hasni berkata, sampah sarap yang ditinggalkan orang ramai serta kaki pancing dan beberapa bekas botol arak dibuang di merata tempat turut mencacatkan pemandangan.
Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak merangkap Imam (1) Tanjung Bidara, Datuk Abu Khir Jamaluddin, berkata, Pulau Konet adalah destinasi pelancongan dan tumpuan kaki pancing, tidak seharusnya ia dicemari dengan aktiviti maksiat.
“Saya sedih setelah diberitahu ada segelintir pasangan remaja menjadikan kawasan pulau sebagai tempat untuk mereka bermesra sebelum melepaskan ‘hajat’ mereka tanpa memikirkan perasaan orang lain yang berakal, ” katanya.
0 comments:
Post a Comment